Siri Motivasi : M1 Mengapa Manusia Kecewa ?

25 04 2008

Mulai hari ini, Fair akan membuat satu siri motivasi. Insya-Allah motivasi ini akan dibukukan jika diizinkan. Sila tinggalkan komen dan pendapat anda. Jika ada cadangan untuk motivasi mengenai kes-kes tertentu sila nyatakan.

Siri Motivasi : M1 Mengapa Manusia Kecewa dan Bagaimana Mengatasinya ?

Perisai Kecewa

Manusia selalu sahaja kecewa. Bila kecewa kita akan tertekan, marah, celaru dan pelbagai lagi nilai-nilai yang buruk. Hari ini ramai yang menderita an merasakan hidup tidak bahagia kerana banyak kekecewaan yang wujud di dalam hidup kita.

Kenapa kita kecewa ? Kita kecewa kerana kita hanya meletakkan harapan. Apabila harapan tidak dapat direalitikan maka kita akan kecewa. Mungkin anda kan menyoal, jika tidak diletakkan harapan, bagaimana mahu memotivasikan diri dan memajukan hidup ? Baik, meletakkan harapan tidak salah, malahan dialu-alukan. Cuma, satu aspek yang amat penting, kita sering terlupa untuk meletakkan perisai. Perisai ? Apabila kita meletakkan harapan, kita mesti memikirkan keberkecaian harapan itu dalam tahap yang paling teruk dan bersedia menerimanya. Selepas itu berusaha semampu mungkin, berdoa dan berserah pada Tuhan agar harapan itu mampu dicapai.

Kejayaan sebagai galakan, kegagalan sebagai cermin

Jika harapan menjadi kenyataan, bersyukurlah kepada Tuhan dan jadikan harapan yang menjadi kenyataan itu sebagai perangsang untuk harapan-harapan lain yang lebih besar di masa akan datang. Jadikan ia sebagai seolah-olah profil untuk sesuatu syarikat. Katakan pada diri, “Aku telah berjaya melepasi tahap ini dan aku akan cuba pergi kepada tahap yang seterusnya”.

Bersabarlah dan renung kembali apa yang silap jika harapan berkecai atau tidak sempurna kejayaannya. Dapatkan sokongan dari manusia sekeliling : keluarga, kawan dan sebagainya. Ingat, manusia sentiasa melakukan kesilapan dan harus meletakkan sebagai rujukan untuk hari-hari seterusnya.Jangan sesekali berputus asa kerana itu menunjukkan bahawa ada tidak mencerminkan ciri-ciri manusia berakal yang baik. Ingat ! Berputus Asa itu adalah punca kenapa Iblis (Ketua Syaitan) menjadi musuh kita manusia.

Kekecewaan dalam filem P. Ramlee

Pernah melihat filem “Nujum Pak Belalang” lakunan P. Ramlee ? Watak Pak Belalang itu adalah watak manusia yang meletakkan harapan pada mulanya, tetapi apabila harapan itu menjadi besar, dia tidak mampu menjayakan harapan tersebut (Harapan yang dibuat secara penipuan). Mujurlah ada anaknya Belalang yang tidak panik dan mampu mencari jalan untuk melepaskan diri mereka dari kesusahan.

Bagaimana pula dengan aksi Kasim Selamat mencucuk matanya dengan garfu ? Adakah itu contoh manusia yang tidak mampu berfikiran waras apabila kecewa ? Anda boleh jawab sendiri.

Bertindak bodoh kerana Semakin Membenarkan Kekecewaan 

Ada juga manusia yang sanggup menjerumuskan hidupnya dalam keadaan yang lebih hina semata-mata kerana kecewa yang masih boleh diubat. Ada yang tidak mahu berkahwin semata-mata kerana kecewa dengan cinta, ada yang tidak mempercayai mana-mana wanita / lelaki kerana diperdayakan seorang wanita / lelaki. Ada yang menggadaikan maruah kerana marahkan pasangannya yang meninggalkannya. Ada yang membunuh diri kerana tidak mampu lagi menanggung beban hidup.

Janganlah kita menjahanamkan hidup kita semata-mata kerana pernah kecewa. Bangkit semula itu adalah kemenangan yang sebenar. Yang penting kejayaan pada akhirnya, bukan permasalahan pada permulaanya atau pertengahannya.

Sentiasa buat post mortem dan cari apa yang silap dan boleh diperbaiki. Oh ya ! Jangan lupa untuk membuat kajian atau persediaan sebelum melakukan sesuatu yang rumit. Sentiasa bertanya pada yang tahu dan boleh dipercayai.

Masih Ada yang Sayang

Ingatlah, tidak semua harapan akan kesampaian. Jika anda pernah kecewa, renung kembali dan bandingkan nikmat yang anda kecapi sekarang. Masih banyak yang anda boleh nikmati, masih ramai yang menyayangi anda. Yang penting, anda masih bernafas bukan ?

Ingat, sebelum ianya berakhir, ingat di mana kita bermula dan harapan bukannya untuk memusnahkan diri kita tetapi membuktikan kita adalah makhluk ciptaan Tuhan yang paling sempurna !

Fairuz Hafeez
USJ 14, Selangor Darul Ehsan

Hak Cipta Terpelihara.


Tindakan

Information

Tinggalkan komen