Dulu Ketuanan Melayu, Sekarang Dah Tukar 1Malaysia

26 06 2009

Terbelakah kaum Melayu ?

Sebelum ini, di mana-mana kita mendengar “Pertahankan ketuanan Melayu !”. Keris dihunus tinggi, dicium dan satu Malaysia Penting sangatkah ketuanan Melayu ? Selama lebih 50 tahun kita merdeka dan menjadi tuan, apakah bangsa Melayu terbela, Islam dijulang ? Institusi diRaja yang diketahui tidak dipengaruhi politik telah dijolok tengkolok oleh mereka yang “lalok”. Kenapa, adakah kerana mereka yang menjolok itu ikhlas memperjuangkan bangsa Melayu atau hanya sekadar lakonan semata-mata, sayangkan kuasa yang ada di tangan mereka atau … ? Ajaibnya, hari ini slogannya berubah menjadi 1Malaysia ! Seperti kata Ravi, cikgu sekolah memandu sitkom Pi Mai Pi Mai Tang T, “Sudah Tukar Aaaa!”

UMNO Memerdekakan Malaysia ?

Selama ini kita belajar dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah, UMNO yang memerdekakan Malaysia. Cuma, saya yakin ramai yang tidak tahu bahawa kemerdekaan itu bersyarat. Saya juga pasti ramai yang tidak tahu tentang pejuang-pejuang Melayu yang lain yang mencetuskan semangat kemerdekaan. Nama-nama seperti Mat Kilau, Tuk Janggut, Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman dan seterusnya Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh (sekadar menyebut beberapa nama : ada antara mereka pejuang “kontroversi”) semasa era merdeka hanya dikenali namanya tetapi tidak ramai yang dapat mengupas sepenuhnya perjuangan mereka.

Benarkah kemerdekaan bersyarat yang diperolehi menerusi Tunku Abdul Rahman adalah merdeka yang menyeluruh ? Ada pihak berpendapat British memberikan kemerdekaan kepada kita tetapi dalam masa yang sama menyumbat ideologi mereka untuk diguna pakai oleh kita.
Masih Terjajahkah kita ?

Semasa kecil, saya sering bertanya-tanya, mengapa bendera Malaysia “Jalur Gemilang” seakan-akan bendera Amerika. Bila sudah besar, saya cuma memahami dan berfikir bahawa itu hanya kebetulan. Penjajah memang sudah tahu bagaimana hendak menjajah kita selamanya. “Pecah dan perintah” yang dilakukan oleh pihak Bristish telah menyebabkan kaum Melayu ramai yang tinggal di kampung-kampung, kaum Cina di lombong-lombong dan kaum India di estet-estet getah.

Apakah tujuan mereka ? Kesan dari “Pecah dan Perintah” ini telah menyebabkan pengagihan ekonomi yang tidak seimbang di antara kaum. Melihat keciciran kaum Melayu dalam ekonomi, kerajaan telah memperkenalkan DEB untuk menolong kaum Melayu tetapi bagaimana pula dengan kaum India ? Sejauh mana DEB benar-benar menolong kaum Melayu ?


Kegagalan Samy Vellu Mengubah Nasib Kaum India

Semasa saya di Selangor tahun lepas, saya berborak dengan seorang uncle India, penjual akhbar di Subang Jaya. Uncle ini kecewa kerana pengorbanan kaum India untuk memajukan estet tidak dipandang selayaknya. Kaum India bersusah payah untuk memajukan estet sejak dahulu. Setelah estet begitu jayanya dimajukan, ada golongan-golongan tertentu yang ingin membangunkan kawasan tersebut dengan hutan batu, katanya. Bagi saya, Samy Vellu gagal segagal-segagalnya dalam memperjuangkan kaum India kerana itulah Presiden MIC ini kalah mengejut dalam PRU 12.Kaum India sebenarnya sudah muak dengan Samy Vellu.


Imbas Kembali : Ketuanan Melayu

Ketuanan Melayu, ungkapan yang lunak didengar tetapi sedarkah kita akan perasaan bangsa bukan Melayu ? Kita memikirkan bangsa kita tanpa memikirkan bangsa India juga masih ramai yang tidak menentu taraf ekonominya. Adilkah kita ? Kita asyik dibuai kenangan yang indah sebagai penduduk asal negara ini bersama dengan kaum peribumi yang lain, tapi dapatkah kita nafikan sumbangan kaum lain terhadap pembangunan ekonomi negara ? Lihat sahaja senarai 10 orang yang terkaya di Malaysia, berapa peratus sangat cukai pendapatan yang diperolehi dari jutawan Melayu berbanding dengan jutawan-jutawan bukan bumiputera yang lain ?

Ketuanan Melayu, untuk apa dilaung-laungkan sebenarnya? Mana yang lebih penting untuk keharmonian masyarakat majmuk di negara tercinta ini ? Memperjuangkan nasib Bangsa Malaysia keseluruhan, terus memberi tongkat sakti kepada bangsa Melayu atau memperkayakan beberapa kerat individu Melayu sahaja ?

Sebenarnya Hak-hak istimewa orang-orang melayu telah termaktub di dalam Perlembagaan dan tidaklah perlu dicanang-canangkan hingga mengundang tanda-tanya dan sinis daripada kaum lain.


Setiakawan dalam Pakatan Rakyat

Bagi saya, Ketuanan Melayu hanyalah slogan untuk mencipta rasa gembira namun hakikatnya ia membuai-buai kita hingga lupa situasi yang sebenarnya. Akhirnya, orang Melayu akan merasakan diri mereka superior tanpa menyedari kita jauh ketinggalan dalam segenap aspek. Setelah lebih 50 tahun merdeka kita masih lagi berfikir tentang subsidi dan kuota.

Apa yang saya lihat, semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat lebih terarah untuk membawa penyatuan yang lebih erat sesama kita. Benarlah, jika sekiranya pemimpin-pemimpin bijak dan rasional maka rakyat yang berbilang bangsa dapat disatukan dengan lebih muhibbah. Golongan bukan Islam lebih terbuka dan berminat untuk menerima Islam.


Keterusan Survival Melayu

Ketuanan Melayu juga bagi saya hanyalah slogan untuk mendesak rakyat bersatu di bawah UMNO dengan harapan rakyat merasakan hanya UMNO yang dapat meneruskan survival Melayu. Hakikatnya yang lebih penting adalah Kehormatan Islam terus terbela dan kerajaan tidak lagi mendiskriminasikan rakyat mengikut pegangan politik.


Salam Pantai Timur

Jika rasuah seperti ketidaktelusan pemberian tender dikurangkan sudah tentu kek ekonomi teragih dengan sekata. Jangan lupa, majoriti penduduk Kelantan dan Terengganu adalah Melayu Islam, maka janganlah kerana dendam politik orang Melayu sanggup melihat orang Melayu yang lain dinafikan haknya.


http://www.1malaysia.com atau http://www.najibrazak.com ?

Saya baru saja menjenguk laman web rasmi 1Malaysia – http://www.1malaysia.com.my. Di entri masuknya terpampang “Welcome to 1 Malaysia – Najib Razak”. Wah ! Tanpa title Dato’ Seri ! Entri “1Malaysia Subur di Sarawak”, Najib memberitahu cuacanya panas sewaktu berangkat menaiki helikopter dari Kuching ke sebuah kampong Iban yang terletak di tebing sungai Batang Ai (Nampaknya kipas helikopter yang ligat berpusing tidak mampu menyejukkannya.. he he). Najib menamakan Sarawak sebagai negeri contoh ‘Perpaduan Melalui Kepelbagaian’, iaitu mereka sama-sama hormati budaya dan perayaan kumpulan etnik mereka yang pelbagai. Adakah Najib ingin menawan kembali pengundi-pengundi sana yang berpindah ke teratak PKR ?

Seperti “Islam Hadhari” yang mengelirukan dan sukar difahami, apakah konsep “1Malaysia” begitu juga ? Apa yang mengecewakan, tidak banyak info yang didapati menerusi laman web ini. Yang saya nampak hanyalah “8 Nilai”, “Selayang Pandang” dan “Soalan Lazim” yang memperkatakan secara terus tentang konsep “1Malaysia”.

Walaubagaimanapun unutk memahami “8 Nilai” anda perlu menonton video Najib berbicara dalam bahasa Inggeris dengan durasi 3, 4 minit (berdasarkan 3 video yang saya lihat). Kalau ada siapa-siapa yang tidak berapa pandai berbahasa Inggeris tu, sila baca buku teks Sains / Matematik anak, adik atau anak jiran anda.

Info pada sub-menu “Selayang Pandang” hanyalah penerangan ringkas satu perenggan manakala pada “Soalan Lazim” hanya terdapat fakta-fakta teknikal laman web tersebut (seperti jawapan tentang penggunaan bahasa yang kasar dan kesat dalam komen tidak akan diterima).

Dalam membaca sepintas lalu “Soalan Lazim” saya terjumpa soalan mengenai apakah itu http://www.1malaysia.com. Apa yang mengejutkan, http://www.1malaysia.com ini rupa-rupanya laman web peribadi Najib ! Patutlah banyak video dan cerita tentang dia (biografi & ungkapan) . Tertipu aku ! Kalah Che Det yang hanya menggunakan domain percuma .co.cc. Ayahanda Abdullah pula, bila lagi nak ada laman web sendiri ?


Pencapaian diutamakan, Rakyat didahulukan

Kelihatan seperti tidak mungkin untuk menukar nama Barisan Nasional (atau Barisan Kebangsaan ?) kepada Barisan Rakyat, Najib mungkin cuba menyakinkan rakyat bahawa mereka didahulukan. Tapi ingat, pencapaian paling utama. Mungkinkah kita masih lagi ada hati untuk bersaing dengan negara lain seperti Qatar untuk membina bangunan tertinggi di dunia. Adakah projek-projek mega terus dimegahkan dan diutamakan ? Dan akhirnya, rakyat yang miskin dan sederhana terus terhimpit. Maka bukanlah rakyat didahulukan tetapi terus dibelakangkan.


Slogan Berpanjangan, Perjuangan Gelandangan

Dr. Mahathir dengan “Wawasan 2020”, Pak Lah dengan “Islam Hadhari” dan Najib tidak mahu kalah membawa “1Malaysia”. Apapun slogannya, kepimpinan atasan Barisan Nasional tetap begitu – mencorakkan Malaysia sebagai “Negara Mewah” sedangkan ramai rakyat yang menderita. Perjuangan yang semakin longlai dan jauh dari semangat semasa merdeka dahulu. Dulu cayalah, tradisi membela rakyat, sekarang rasuah, kami semua meluat.

Kepada semua rakyat Malaysia, sudah tiba masanya anda menolak kerajaan Barisan Nasional dan berikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia pada pilihanraya akan datang. Jangan nanti Malaysia dipacu menggunakan gear undur pula dan akhirnya kita ketinggalan dan rakyat semakin tertekan dan terkesan. Apakah Wawasan 2020 yang hanya berbaki 11 tahun lagi akan akan expired sebelum buahnya boleh dinikmati bersama ?

Kepada saudara Melayuku, ingat, “Sebelum Merasai Nikmat Menjadi Hamba Jangan Bongkak Menjadi Tuan!”

Nota : Artikel ini merupakan pengembangan terhadap artikel saya yang bertajuk “Ketuanan Melayu : Selagi Belum Merasai Nikmat Menjadi Hamba Jangan Bongkak Menjadi Tuan !”

Salam Cinta !

http://www.fairuzhafeez.co.cc

Advertisements

Tindakan

Information

3 responses

26 06 2009
News Dulu Ketuanan Melayu, Sekarang Dah Tukar 1Malaysia | Web 2.0 Designer

[…] Here is the original post: Dulu Ketuanan Melayu, Sekarang Dah Tukar 1Malaysia […]

30 06 2009
lepenggg

apa yg mu tulis tu aku rasa mmg betul..

13 06 2010
nalshe

salam..
point yg diberikan tu btol
tapi perlulah saudara ingt bhawa org cina xakan sekali2 menolong orang mlayu..if mnolong kerna niat…pe mkna setiakwan dlam dri bkan org bkn mlyu?setiakwn omongn kosaong jer..
usah trtipi oleh mreka

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: