Dunia Siber : Bebas Memaki Hamun ?

13 08 2008

Apa reaksi tuan puan bila mendengar perbualan di cafe seperti berikut :

  • “Aku rimas la bila terbaca sumpah seranah kat internet!”.
  • “Kebanyakannya yang bagi komen penuh dengan maki hamun”.
  • “Dohlah IQ tak tinggi, EQ pun tahap kanak-kanak juga !”

Dunia siber ! Dunia tanpa sempadan yang boleh dimasuki walaupun dengan hanya berkain pelikat. Dunia siber menyediakan banyak kemudahan bagi penggunanya supaya mereka dapat berkongsi maklumat namun siberian mestilah menggunakannya secara bijaksana dan berhemah.

Cuma, saya lihat, semakin ramai yang tidak beretika dalam berforum. Ada yang melepaskan geram dan kemarahan (mungkin ketegangan) kepada orang lain menerusi serangan dan maki hamun. Mungkin kerana tidak perlu mendedahkan muka dan juga identiti sebenar maka mereka sesuka hati sahaja meremukkan hati dan perasaan orang lain. Mungkin dengan cara ini mereka lebih puas membuang segala ketidakpuasan hati mereka tentang dunia yang nyata.

Walaupun portal, forum atau laman sembang hanyalah antara muka yang mewujudkan komunikasi maya, tidak seharusnya ia dinodai dengan bahasa kesat, cacian dan makian. Apa yang saya perhatikan, mereka seolah-olah puas apabila dapat melontarkan kata-kata “kurang ajar” dan seterusnya melupakan salah satu prinsip rukunegara iaitu “Kesopanan dan Kesusilaan”.

Jika tidak memaki hamun, mereka akan memilih untuk membuat orang lain rasa tidak selesa dengan tulisan mereka. Apakah mereka lupa bahawa yang membaca tulisan mereka mempunyai perasaan seperti mereka juga ? Dalam menimbulkan ketidakselesaan ada juga antara mereka yang membuat posting yang sama berkali-kali mungkin tidak puas hati (kerana mahukan postingnya di baca oleh semua orang ?).

Banyak juga cara-cara lain yang digunakan untuk melamgikan (melamputinggikan / menghighlightkan) tulisan (baca : makian) mereka. Saya tertanya-tanya, apakah yang mereka cari sebenarnya ? Adakah mereka sengaja melepaskan kemarahan mereka ke dunia siber ? Kemarahan berpunca dari masalah / ketidakpuasan mereka di dunia realiti ?
Sememangnya banyak kedapatan serangan terhadap individu lebih-lebih lagi dalam forum politik. Nama-nama ahli politik ditukar gantikan sesedap rasa.

Malu saya melihat kerenah manusia yang lebih suka kosmetik dan bukan cuba berhujah dengan fakta yang kukuh, tidak kiralah sebelah BN atau PR. Juga terdapat banyak siberian yang menulis tidak berdasarkan fakta yang kukuh dan hanya copy & paste fakta dari siberian yang lain tanpa mengetahui kebenarannya.

Bagi saya, berhubung dalam dunia siber adalah untuk mencari sahabat dan seterusnya berkongsi maklumat dalam suasana hubungan kekeluargaan yang penuh ceria. Jika sekiranya banyak kecelaruan yang menyelit, maka lebih baik saya bertukar haluan ke daerah siber yang lebih suci.

Terdapat juga komen-komen yang menggunakan nick yang pelbagai (multinick) yang seolah-olah lempar batu sembunyi tangan. Ada juga yang terikut-ikut dengan pandangan orang lain dan tidak yakin dengan pendapat sendiri. Ada juga yang mengikut rentak haluan angin, ketika terlihat puak mana yang menang, puak itulah yang diikuti. Yang berfikir menggunakan emosi tak usah cakaplah. Jika anda sudah muak dengan dunia sebenar, anda pasti akan lebih muak dengan dunia siber bila mengetahui kebobrokannya.
Bilakah rakyat Malaysia dapat menjadi golongan minda kelas pertama ? Apakah budaya memaki hamun ini semakin berbudaya dari budak sekolah hinggalah ke ahli parlimen, dari dunia realiti hinggalah ke dunia siber dan dari dalam rumah hingga ke liang kubur  ?

Kepada mereka yang bersemangat dan marah kepada sekumpulan orang sehingga menghamburkan carutan dan makian. Bertenanglah dan bermuhasabahlah. Tindakan anda itu hanya membuatkan golongan yang anda sayang / sokong semakin rebah dan tercalar kredibilitinya.

Tiada gunanya anda berpuas hati setelah memaki tetapi orang lain semakin memandang sinis dan jelik dengan tulisan anda dan seterusnya mengaitkan tindakan penyokong dengan kumpulannya. Orang yang atas pagar pun lemas dan rimas membaca sumpah- seranah yang tiada fakta dan kupasan ilmiah untuk dijadikan rujukan. Renungkan pepatah Melayu berkenaan “Nila & Susu”, “Kelambu & Nyamuk”, “Kurik & Saga” dan “Benang & Tepung”.

Sudah lupa kes Permatang Pauh P44 ? Kerana “penyokong” (berdasarkan baju yang dipakai), ada orang menuduh kita ganas ! Pernah baca kenyataan saya “Politik sekarang semakin complicated” ? Kita mestilah bijak berpencak bukan terus terusan rancak menginjak.

Fikir-fikirkanlah. Renung-renungkan. Ingat ! Bangsa kita ketika dahulu amat dihormati kerana kehalusan tutur katanya. Apakah kita memperjuangkan kebebasan bersuara sambil membuang mahkota keluhuran budi yang sekian lama dijunjung.  Apa pendapat anda ?

Masa sekarang ialah untuk “memancing” dengan “istiqamah” bukannya “mengencing merata-rata” hingga tidak perasan zip tidak “terkancing”. “Dacingilah” segala tingkah laku kita dan jangan sampai menjadi “Cacing yang kepanasan”.

Jangan sampai orang mengatakan “Kalau nak tengok sejauh mana akhlak orang PR tengoklah kat Tranungkite.net!”. Kalau ada yang membuat provokasi di sini, tanganilah dengan bijak.

Akhir kalam, maafkan hamba yang hina ini. Saya hanya mahu mereka di sana membuka mata kepada pihak kita. Kalau ada yang teras, hamba memohon kemaafan dengan penuh rasa rendah diri.

“Bahasa menunjukkan bangsa”

Mohd Fairuz Mat Zin
Menulis Demi Cinta
http://fairuzhafeez.com

———————————————————————————————————–

Artikel saya yang lain :

Sebalik Lagu “Haring” yang Nyaring – aLi (Roslan Aziz & Mukhlis Nor)

Interpretasi ini (versi yang sebelum ini, iaitu versi 1.0) juga dipaparkan di blog RoslanMukhlis : http://roslanmukhlis.blogspot.com/2008/07/sebalik-lagu-haring-yang-nyaring-ali.html

Antara sedutan tafsiran :

Orang bulan, orang tepi jalan
// Orang bulan : Orang yang mempunyai ilmu agama dan beramal soleh
Orang tepi jalan : Orang yang berniaga iaitu mempunyai premis perniagaan. (Mungkin juga orang yang suka dengar ceramah & juga orang yang suka berjalan kaki ?)

Dapat memahami keadaan ini
// Akan faham apa sebenarnya berlaku. Siapa yang benar? Orang beragama hatinya bersih dan senang menafsir sebalik kejadian manakala peniaga pula selalu berinteraksi dengan pelanggan yang terdiri dari guru, peguam mahupun penggubal undang-undang.

———————————————————————————————-

Silakan juga untuk membaca interpretasi lirik yang lain :

Interpretasi : Lirik “Jentayu” – Tongkat Warrant
&
Dakwah Allahyarham Loloq Menerusi lirik “Aduh Saleha”





Hanya Untuk Forumer Cari.com.my (terutama sub-bod SYMT)

31 07 2008

Sambungan dari Forum Cari – Sub-Bod SYMT :Kami tidak mahukan penyingkiran, kembalikan 2 peserta yg tersingkir


Wahai insan-insan seni sekalian. Mengertilah, hiburan adalah mekanisme untuk membahagiakan hidup dan menenangkan jiwa. Muzik adalah santapan rohani utnuk melenturkannya menjadi insan yang bersemangat dan terus menjunjung langit di mana pun bumi dipijak. Melodi2 yang oktetis itu adalah anugerah Allah untuk manusia mengkaji, mengerti dan memperakui kebesarannya.

Fair tidak datang ke sini hanya untuk menelan sumpah seranah yang bisa menjadi doa dan paling bahaya jika dimakbulkan. Fair datang ke sini kerana melihat ada hujan cinta bila melihat ukhuwah dan kemesraan orang lama bila datangnya orang baru buat rumah. Fair tahu ramai pengkritik yang terkhilaf menggunakan frasa yang betul. Yang berlalu tak akan berulang, buang yang keruh, ambil yang jernih, pakailah kanta cinta, insya-Allah pahit akan manis akhirnya.

Kepada pengomen2 bukan pro yang lain jagalah perkataan anda. Kadang2 kata2 kita lebih banyak keburukan dari kebaikan. Insaflah saudaraku. seperti kata Ajami, yg Fair madahi kembali : kalau dunia seni Malaysia sudah kecik, dangau kita di CI2 ni lagilah kecik. Hargailah pengorbanan para sukarelawan yang ingin memastikan CI2 ini berjalan dengan lancar dan baik. Uolss ingat tak berpeluh ke ketiak diorang buat kerja ?

Nggak mengerti apa cerita ni & apa itu CI2 ?
Sila klik banner di bawah untuk penerangan !

Untuk yang suka hentam peserta seperti Ke******., sebelum terfikir nak kutuk peserta, dengar dengan teliti, adakah peserta-peserta ini hanya mengambil mudah pertandingan ini ? Bagaimana dengan yang menghabiskan masa berjam2 hanya utk edit lagu ? Terpaksa melalak macam tarzan yang mungkin membuatkan jiran sebelah ty “dia ni histeria ke?”. Bagaimana dengan yang disindir oleh rakan satu floor ? Bagaimana dengan yang terpaksa menghadapi exam dan mempunyai masa yang terhad ? Bagaimana dengan yang sanggup mengupah musician untuk membuat minus satunya ? Bagaimana pula dengan peserta yang hampir kehilangan suara semata2 kerana rakaman berulang kali untuk memberikan yang terbaik ? Uolss x nampakkan ? Tylah peserta CI1 akan pengalaman mereka.

Fair tahu ada yang perasan Fair nyanyikan lagu “Aku Takkan Bersuara” di forum ini kebelakangan ini (dah tentu uollsss takkan dengar). Fair bukan merajuk menunggu dipujuk tetapi Fair kecewa dengan mentaliti semua orang di sini yang kebanyakannya Melayu. Semuanya seakan nak lepas perasaan kat sini. Camooooooooooooon ! Nak lepas perasaan gi kat bod politik nung. Lepas la perasaan kat sana, mengapa dilepaskan di sini ? Sini kita nak enjoy dengan muzik, menyebarkan cinta melalui medium seni !

Cukuplah … nak sambung rakam demo pulak ni, hutang dgn pemuzik belum bayar lagi. So, semua dah besar2 kan ? (tak der la sebesar Tajah Oja.. wink! wink!). Kita yang kena ubah dunia ini menjadi laman kasih sayang bukannya dunia ini memaksa kita untuk mengikuti rentak-rentak survivor yang karnivor.

Ingat ! Kita di sini seperti satu keluarga. Cubit peha kanan, peha kiri sakit. Cubit peha Oja.. kena pijak dek Tajah dia laaa … ! He he he.

“Bersatu kita roboh, bercerai kita teguh !”

Menyanyi Demi Cinta
Fairuz Hafeez





Rasakan Ko Anwar ! Hero bela rakyat kunun !

17 07 2008

Nota : Kalau nak komen pun sila baca sampai habis ye ! Jangan berlagak pandai nak bagi komen maki aku walaupun tak pernah hantar satu artikel pun kat Tranungkite.net. Untuk yang baca kat blog aku sila malam nanti ke Tranungkite.net untuk hantar komen. Cari je nama aku “fairuzhafeez” tapi kena tunggu sebab mungkin editor tak lulus. Blog aku tak de orang masuk. Kawan-kawan je.

————————————————————————

Assalamualaikum dan salam cinta semua !

Sekarang ni sure kecoh seluruh Malaysia dari lobi-lobi parlimen hinggalah ke warung kopi Mak Teh Kg. Buluh perihal Anwar ditangkap. Tranungkite.net pun pasti berdozen artikel pasal Anwar ditangkap. Ni lagi satu artikel “sampah” buat tuan puan baca.

Anwar…. Anwar …. Anwar …. Kesian ko ye ! Rasakan ko Anwar ! Ko nak sangat jadi herokan ? Gentelmeng kunun. Sekarang ko merasa la akibatnya. Orang suruh ko bermuhabalh banyak pulak ko punya helah. Takut apa kalau ko tak salah. Berani kerana benar, takut kerana salah !

Bleh aku nak tanya satu soalan kat ko ? Apasal dalam debat pasal turun minyak tu ko lawan habis-habis ? Sikit-sikit dah la no. Ni nak menang jugak. Ko tahukan Si Shabery tu dah taruhkan jawatan dia sebagai Menteri Penerangan (baru je 100 hari lebih sempat rasa) untuk berdebat dengan ko ? Alih-alih … sedap pulak ko berhujah. Aku pun heran, ramai pulak yang tepuk tangan masa ko berhujah. Kalau dalam sembahyang jemaah, itu tandanya ko ada salah baca. Ko ade salah baca fakta ke ?

Aku pun lagi-lagi la heran, Shaberry tak suruh ke orang-orang dia jangan bagi “tiket” penonton studio banyak sangat kat pembangkang. Nasib baik RTM 1 tak siar secara langsung, ye la aku rasa (klu aku fikir guna akal singkat) orang-orang kampung ni mungkin cepat terpengaruh dengan sorakan dan tepukan di studio. Dulu masa aku tengok rancangan Muzik-Muzik carta Mingguan pun, ada sorang yang duduk kat tepi pentas minta kitorang tepuk kuat-kuat kunun nak bagi happening, nak tunjuk meriah kat studio, padahal dok la sangat. RTM aku tak tahu la ada ala-ala TV3 ke tak ?

Anwar, Anwar .. ko tak serik-serik ke duduk dalam penjara ? Tak ingat lagi ko kena telanjang, tumbuk sampai lebam biji mata, kurus kering cengkung ? Sampai sekarang pun aku tengok ko ni macam tak bermaya je. Nasib baik dapat gi berubat kat Oversea. Kena terima kasih kat Kerajaan Islam Hadhari pimpinan Pak Lah no. Dapat juga ko bersiar-siar cari ilham kat Oversea lepas kena bebas.

Dulu aku ingat mati-mati cam logik je apa yang Mahathir cakap : ko tumbuk diri sendiri kat mata ! Ye la .. Mahathirkan pemimpin genius. Takkan dia cakap main agak-agak je sedangkan Wawasan 2020 yang 30 tahun ke depan pun dia boleh agak (Errr .. sempat ke Najib amik masa 10 tahun dari 2010 -2020 untuk jadikan Malaysia negara Maju seiring Wawasan 2020 ?).

Aku ingat ko pakai make-up artis untuk buat kesan khas kat mata ko tu, ala-ala skil mekap artis Anak Pontianak yang ada orang tak takut pun tengok. Alih-alih bila Suruhanjaya Khas DiRaja siasat (tu pun dah berbuih mulut rakyat minta wujudkan), barulah aku tau yakni Otaimer, Bekas Ketua Polis Negara yang tumbuk ko.

Heheh ! Nasib baik ko tak mampus Anwar ! Tuhan masih redha ko hidup atas bumi Malaysia ni. Kalau ko kena pukulan TKO masa tu (bukan TranungKite Online tau!) kelam-kabut Mahathir nak jawab dengan orang kampung nanti.

“Save and sound” lagi ke ko kali ni Anwar ? Malam tadi ko tidur mana ? Atas tilam tanpa cadar atau atas simen ? Ke ko tak sempat nak tidur sebab banyak sangat soalan nak tanya kat ko ? Mungkin diorang rasa teruja kot… Ye la .. bende-bende begini… Ala .. dulu gambar kes polis adik Nurin yang klasifikasikan sebagai “sulit”, “tak tercapai akalmu” dan “mengguris perasaan” pun tersebar kat umum. Gambar-gambar Allahyarham Nurin yang disiksa secara seksual. Err… dapat tahu ke siapa punya angkara ? Aku baca paper, otai polis cakap bahan bukti (gambar nedah siasat adik Nurin) tu dalam simpanan orang-orang yang ada akses ke bahan bukti.

Siapa yang ade akses selain dari polis ? Ntah la .. takkan Ah Seng tukang cuci gambar pun ada akses ? Bandingan je la … aku tak tahu la nak kata polis yang sebarkan. Kan fitnah pulak. Nantikan aku pulak kena bagi statement dan soal siasat sebab buat tuduhan tanpa bukti. Sibuk sangat pasal kes liwat ko. Sharlinie apa cerita ? Mawi pun tak tahu alkisahnya. Kadang-kadang aku terfikir lagi penting kes liwat ko je dari kes diorang. Ni aku terfikir-fikir je. Korang jangan la ikut aku.

Macam ko Anwar pelik sikit, selalu ko je yang terkena. Kau report pasal orang lain pun kena, orang repot apsal ko pun ko terkena. Nasib ko lah Anwar. Nak jadi Hero mesti la sakit dulukan. Ko mesti suka tengok citer Tamil, hero kalah dulukan. (Ala aku tahu .. sebab tu ko tahu joget India sket depan kaum India masa berkempen di Ijok tu. Aku nak bagitau, setakat joget biasa macam tu, aku pun tahu!).

Nantilah aku sambung pula Anwar. Aku lepas geram cam ni pun bukan seluruh Malaysia baca pun. Kalau seluruh Malaysia baca pun, bukan semua boleh berfikir secara ilmiah. Ko paham-paham je la mentaliti sebahagian kecik orang Malaysia. Asal selesa je. Cukup makan tak pe la. Kekal je kerajaan yang ada. “Naik minyak pun tak pe, harga minyak seluruh dunia naik “, kata salah seorang pro kerajaan bila aku tanya setuju ke tak minyak naik. Tak pe la, keje gomen, pangkat tinggi, tak la kurang duit. Orang kampung cam aku nih gane la gamaknya. Aku nak isi minyak EX5 aku pun takut. Sebotol saiz botol cuka besar tu (x sampai 700 ml) pun RM 2.60.

Selagi orang Melayu bawahan tak pandai berpolitik macam orang Cina selagi tu la orang Melayu terus layu ! Nak harap siapa boleh ubah ? Belajarlah dari orang Cina. Jangan taksub sangat dengan politik sempit. Ingat! mengalah bukan kalah, bertegang tak semestinya menang.

Cukuplah dulu, nanti banyak pula bil api kena bayar ni. Kalau aku rajin aku sambunglah kat blog aku ye !

Salam permisi !

Minta maaf ye kalau ada yang terasa ..

Kak Zah, doa untuk Bang Nuar ye … kalau betul Bang Nuar tak salah, Doa orang terniaya amat makbul.

http://fairuzhafeez.com

“Hidup Melayu!”
“Cemelang, Gemilang, Tebilang!”

ps : Jangan saman saya, saya tak ada duit, tapi saya ada prinsip.

ps 2 : Sebut pasal komen dan maki cara tak berapa cerdik ni kat Cari Idol : Rancangan realiti Internet di Forum Cari pun aku kena, jangan tak percaya, aku pun peserta juga. Nak baca sila ke sini, tapi tak yah la undi aku sebab aku bloggers, undi secara adil ya! Biasa la manusia, suke berlagak bagus kot. Tapi ramai yang tahu tatasusila menulis.