BEDAH SIASAT PRU 2008 – 16 Sedekah Buat UMNO

4 05 2013

Anwar Ibrahim Masih Relevan Malahan Semakin Advance

Anwar masih dilihat sebagai bakal Perdana Menteri yang cukup karisma. Rakyat melihat beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat sementelah lagi beliau pernah dimalukan, ditumbuk, dihina, dipenjara dan di”telanjang”kan. Penderitaan yang dialami memberikannya gambaran relatif yang jelas terhadap nilai keselamatan, keamanan dan kemakmuran. Segala lumpur-lumpur di jasad beliau telahpun diBERSIHkan penderitaan yang beliau bisa maafkan.

Rakyat masih memikirkan Anwar patut menerima “bayaran hutang” yang telah dinafikan walaupun tinggal setapak lagi. Bukti bahawa Anwar tidak bersalah amat jelas setelah dia dibebaskan dan pengakuan Dr. M bahawa dia pernah menganiaya Anwar di dalam YouTube (Dr. M kemudiannya menafikan di televisyen dengan memberitahu ucapannya itu hanya sinikal / sindiran)

Tiada Perubahan Yang Signifikan

Peniaga merasakan keuntungan semakin kurang. Golongan muda yang belum mampan ekonominya ingin satu lonjakan ekonomi. Penganggur pula dambakan pekerjaan untuk sesuap nasi. Yang fakir amat miskin kekal dengan dangau yang atapnya bocor dan lantainya reput.

Duit yang Mengecil

Duit yang semakin merosot nilainya menbebankan rakyat hampir keseluruhannya. Di kota-kota besar, mempunyai dua kerja adalah perkara yang biasa. Keluarga yang ramai anak yang masih bersekolah pula seperti diperkotak-katikkan apabila masih perlu menyediakan ratusan RM walaupun menteri mendakwa telah memansuhkan yuran persekolahan.


Kosmetik, Kosmo dan Kos

Kerajaan begitu ghairah dengan projek-projek mega yang tidak nampak akan menguntungkan rakyat untuk jangka masa panjang apatah lagi untuk jangka masa pendek. Kerajaan yang dulunya menganggap pembangkang seperti roket rindukan bulan akhirnya turut mengimpikan roket untuk ke bulan. Tidak dinafikan projek kosmo ini menjadi penyuntik semangat kepada generasi muda namun sebahagian rakyat menganggap belum sampai masanya untuk “indah khabar dari rupa”.

Diskriminasi dan Intergriti

MIC dan MCA dilihat gagal memainkan peranan untuk membela kaum yang diwakili. Intergriti yang dilaung-laungkan juga nampaknya masih jauh untuk direalitikan (mungkin ketara semasa orientasi IPTA sahaja). Sensitiviti kaum lain tidak dijaga apatah lagi pemimpin Melayu menghunuskan keris tanpa sarung sewenang-wenangnya.

Komunikasi yang Gagal

Walaupun Pak Lah mengatakan sudi untuk mendengar realiti walaupun pahit namun hakikatnya semua yang di bawahnya hanya berani memberitahu benda yang indah-indah sahaja. Ketidaktegasan Pak Lah dalam isu-isu besar dan kegagalannya mengawal orang-orang bawahannya menyebabkan rakyat melihat Pak Lah kurang kredibiliti. Pak Lah juga menganggap tidak perlu lagi mendengar nasihat dari orang yang menyerahkan kuasa kepadanya.

Kritikan pembangkang pula hanya didengar sebagai satu usaha untuk menyalahkan dan mengajar kerajaan sedangkan kerajaan sudah ada cerdik pandainya sendiri.

Pucuk pimpinan UMNO juga tidak menghargai sepenuhnya pandangan veteran-veteran UMNO yang dianggap sudah “pencen” sedangkan mereka orang yang lama makan garam dan gula.

Rakyat Sudah Penat

Rakyat sudah bersuara secara aman tetapi suara mereka dianggap sebagai pencemaran bunyi. Apabila merasakan pemimpin bukan lagi menjadi wakil bagi rakyat maka rakyat menafikan BN melalui pilihanraya. Bagi mereka itu adalah cara terbaik untuk mengajar BN.

Layanan Tidak Memuaskan Semua Kaum

Kekurangcerdikan pemimpin utama BN dalam menyelesaikan isu-isu sensitif seperti Shi Ciu (Betulkan jika namanya silap) dan juga Hindraf menjadikan isu itu dilihat menggambarkan kelemahan layanan kerajaan terhadap golongan-golongan tertentu.

Media yang Meloyakan

Tiada ruang yang selayaknya untuk pembangkang malahan pembangkang dilanyak sebanyak-banyaknya. Iklan untuk memenangkan BN dan memalukan BR dimainkan saban jam.

Kepimpinan bersih Kelantan diperburukkan. Tonggak utama PAS cuba diaibkan sebaik mungkin. Segala “kesilapan” Nik Aziz dan Hadi dicari seterusnya proses cut & paste pun digunakan bersama olahan berita secukup rasa. Keterdesakan untuk mencari bahan untuk mengaibkan terlalu ketara. Gamaknya jika Nik Aziz terkentut satu rancangan khas tentang itu akan disiarkan di RTM selama sejam setiap malam mengantikan slot berita.

SPR yang Celaru

Sekejap mati setem, sekejap tidak. Masa untuk mematikan setem pun amat tidak logik apabila arahan diterima pembangkang pada hari Khamis sedangkan di sesetengah negeri, Jumaat merupakan hari cuti. Sekejap pakai dakwat, sekejap tidak. Setelah kabinet dan majlis fatwa membenarkan isu keselamatan digunakan apabila SPR mendakwa ada pihak yang membeli dakwat tersebut yang hingga ke hari ini tidak diketahui siapakah orangnya.

Satu perkara yang memeranjatkan apabila umur persaraan kakitangan kerajaan dinaikkan dari 55 kepada 56 tahun. Tindakan ini didakwa sebagai penerusan kuasa dengan melanjutkan kuasa kepada pengarah SPR untuk terus mengarah SPR. Kerahsiaan kertas undi yang mempunyai nombor siri dan telus relevannya undi pos terus diperkatakan.


Yakin Melampau dan Cakap Besar

BN dibuai mimpi indah setelah PRU 11 mencatatkan kejayaan yang lebih baik daripada era Mahathir. Mereka menganggap keputusan itu akan kekal selama bertahun-tahun sehingga PRU 12 dan ada di kalangan pemimpin mereka bercakap besar dengan kekuatan mereka.


Pemimpin Korup

Ini sebenarnya yang menjadi duri dalam daging dalam BN. Semangat Pak Lah menghapuskan rasuah selepas baru mendapat mandat hanya hanya tinggal kenangan. Najis rasuah atau bahasa lembutnya politik wang masih memainkan peranan dalam perebutan dan pengekalan kuasa pemimpin-pemimpin BN. Mungkinkah benar kata-kata “Kalau si ayah kencing berdiri, sudah tentu si anak kencing berlari”.

Manakala para MB, YB dan seterusnya JKKK dilihat tidak memainkan peranan yang sejujurnya kepada masyarakat. Seringkali kepentingan politik diutamakan dari kepentingan rakyat keseluruhan tanpa mengira parti. Sikap ini terus menjengkelkan golongan pembangkang dan menyebabkan mereka geli untuk mendekati pemimpin kawasan mereka.


Rakyat Sudah Matang dan Berani Berubah

Apabila tiada ruang untuk pembangkang di medai massa, rakyat mencari-cari maklumat pembangkang dari sumber lain seperti internet. Mencari maklumat berbeza dengan diberi maklumat kerana maklumat yang diberi kerana apabila sesuatu itu dicari, maklumat itu akan menjadi beharga bila dijumpai.

Boleh dikatakan majoriti kaum Cina dan India sanggup berubah dan menghadapi risiko dengan memberikan undian kepada pembangkang namun kaum Melayu masih lagi menganggap UMNO adalah warisan yang harus dipertahankan.


Protes Dalaman

Sudah menjadi budaya dalam UMNO apabila pangkat dicari maka tidak menjadi kehairanan apabila “musuh dalam selimut” sentiasa ada di mana-mana peringkat. Dendam berdendam demi politik survival adalah lumrah.

Politik Perkauman Tidak Relevan Lagi

Setelah 50 tahun merdeka, politik assabiyyah tidak lagi diterima kerana bila hipokrit di hadapan bangsa lain, bangsa sendiri mengata, bila jujur, bangsa lain akan boikot.

Fahaman assabiyah telah ditolak oleh Islam. Contoh terdekat dan nyata ialah bangsa Yahudi yang tidak dapat menerima nabi daripada bangsa lain. Secara realitinya, seseorang tidak boleh mengubah status bangsanya tapi boleh mengubah status agamanya sesuka hati.

Bloggers

Jika anda membaca dari mula hingga ke bahagian ini bermakna peranan penulis blog tidak harus dipandang ringan. Mungkin ungkapan “Mata pena lebih tajam daripada mata pedang” bila diterjemahkan didalam versi siber menjadi “Ketukan papan kekunci lebih kuat dari letupan gunung berapi”.

KONKLUSI

Jika hendak dicari dan dihurai punca kekalahan BN, 7 hari 7 malam tidak mencukupi. Apa yang dinyatakan di atas hanyalah sebahagian daripada sebabnya. Bagi saya tidaklah perlu menampal bocor di kapal yang lama sedangkan kapal yang baru yang lebih laju dan cantik dapat menerima penumpang kapal yang lama dengan syarat dicuci lumpur di kakinya.

Ingat, MCA dan MIC sudah tidak relevan untuk kaum Cina dan India cuma UMNO sahaja yang masih mendapat sebahagian sokongan kaum Melayu. Sekali lagi diingatkan untuk orang Melayu, kalau tidak mahu “mabuk laut” sila naik kapal baru ! Jom sama-sama bercuti di tengah laut menyaksikan biru langit dan indahnya wulan !

Kita jangan buang masa, 
bertindak masuk BA (PR) segera, 
bukannya sengketa sesamalah kita, 
langit dijunjung milik semua !

Ketukan Papan Kekunci
Mohd Fairuz Mat Zin

(siaran ulangan)


Tindakan

Information

Tinggalkan komen